Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Monday, February 2, 2015

Masuk Syurga Tanpa Hisab

Hisab Dan Tiga Kumpulan Manusia

April232013

Hisab Dan Tiga Kumpulan Manusia

hisab.jpg
Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada seorang tokoh tabiin yang bernama Safwan bin Muhriz al-Mazani katanya, "Apabila saya sedang berjalan sambil bergandingan tangan dengan Abdullah bin Umar, tiba-tiba seorang lelaki menghalang. Dia lalu berkata kepada Ibn Umar, "Bagaimana engkau mendengar Rasulullah SAW bersabda tentang najwa (bisikan antara Allah SWT dengan hambanya ketika hisab)?
Ibn Umar menjawab, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda", maksudnya:

"Sesungguhnya Allah SWT mendekatkan seorang Mukmin lalu menutupinya. Allah berfirman: 'Ingatkah kamu dengan dosa ini?' Ia menjawab: 'Ya, wahai Tuhanku.' Allah terus menyebut semua dosa-dosanya sehingga orang itu menyangka di dalam hati bahawa ia pasti celaka. Setelah itu, Allah berfirman (yang bermaksud): 'Aku telah menutupi dosa-dosamu ini di dunia dan pada hari ini aku mengampunkannya.' Lalu diberikan kepadanya buku kebaikan. Adapun orang kafir dan munafik, maka para saksi berkata dengan suara yang keras: 'Inilah orang yang mendustakan Tuhannya. Sesungguhnya laknat Allah akan ditimpakan kepada orang yang aniaya.'" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hisab Mukmin

Kita masih dalam perbincangan tentang peristiwa besar yang akan kita lalui pada hari kebangkitan nanti. Hadis sahih ini memberikan gambaran jelas bahawa proses pelaksanaan hisab berbeza-beza sesuai dengan perbezaan amal perbuatan manusia. Tidak mungkin seseorang yang beriman dan selalu menjaga hak-hak Allah SWT akan diperlakukan sama dengan orang kafir yang tidak pernah mengendahkan perintah dan larangan agama.
Seorang Mukmin yang meyakini pengawasan Allah SWT pada setiap saat akan terdorong untuk selalu menjaga diri daripada dosa. Jika terjatuh juga dalam dosa kerana sifat kemanusiaannya, maka dia akan mengikutinya dengan istighfar, penyesalan dan azam untuk tidak mengulanginya lagi. Orang seperti ini akan melalui hisab dengan mudah sebagaimana firman Allah SWT, maksudnya:

"Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia akan diperiksa (hisab) dengan pemeriksaan yang mudah." (Surah al-Insyiqaq 84: 7-8)
Hadis Ibn Umar di atas menjelaskan bahawa hisab tersebut akan dilakukan secara peribadi, atau najwa. Al-Hafiz Ibn Hajar mentafsirkan lafaz najwa ini dengan katanya, "Yang dimaksudkan ialah munajat (perbualan sulit) antara Allah SWT pada hari Kiamat dengan Mukminin."[1]
Hal tersebut dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan menceritakan bagaimana Allah SWT mendekatkan hamba berkenaan lalu menutupinya dengan hijab agar tidak ada yang mendengar perbincangan yang akan terjadi antara dirinya dengan Allah SWT.
Para ulama menyimpulkan bahawa najwa ini dilakukan untuk seorang hamba yang tidak suka melakukan dosa dengan terang-terangan di hadapan manusia lain. Sebaliknya, ia terjatuh ke perbuatan dosa tersebut dalam kesendirian, lalu berasa malu dan berusaha menutupi dosa itu sekuat tenaga. Tuhan kita terlalu pengasih untuk menyingkap aib seorang pemalu yang berusaha menutupi aibnya di dunia. Oleh sebab itu, Allah SWT menghisabnya secara tertutup lalu mengampuni semua dosanya.
Dalam hadis Muslim, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

Tidaklah Allah menutupi aib seseorang hamba di dunia, melainkan Allah akan menutupi juga aibnya itu pada hari Kiamat."
Hal ini kerana Allah SWT sangat menyukai budaya menutup aib dan menggalakkannya. Kita dikehendaki untuk selalu menutupi dosa, sama ada dosa yang kita lakukan sendiri ataupun dosa yang dilakukan oleh orang lain. Cadangan ini sangat banyak kita temui di dalam hadis-hadis lain. Misalnya hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Sesiapa yang menutupi (aib dan dosa) seorang Muslim, Allah akan menutupinya (aib dan dosa) di dunia dan di Akhirat."
Sebaliknya, kita diharamkan untuk membuka aib sendiri atau orang lain. Orang yang sula membuka dan menyebarluaskan aib orang lain diancam dengan hukuman yang sangat berat di dunia dan di Akhirat.
Dalam hadis riwayat Ibn Majah daripada Ibn Abbas, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Sesiapa yang menutupi keburukan saudaranya seislam, Allah akan menutupi keburukannya pada hari Kiamat. Dan sesiapa yang menyingkap keburukan saudaranya seislam, Allah akan menyingkap keburukannya sehingga ia akan terhina meskipun di rumahnya sendiri."
Berdasarkan hadis-hadis di atas, saya berani menegaskan bahawa tidak beriman sama sekali orang yang berusaha mencari-cari aib saudaranya, lalu menyebarluaskan aib tersebut dalam kalangan masyarakat untuk merosakkan nama baiknya. Namun sedihnya, sikap ini sering dilakukan oleh tokoh-tokoh tertentu yang seharusnya takut kepada hisab Allah SWT pada hari kebangkitan.

Hisab Kafir dan Munafik

Sementara orang kafir dan munafik, iaitu orang yang tidak menyedari sama sekali pengawasan Allah SWT kerana tidak beriman kepada Tuhan pencipta alam semesta, maka mereka melakukan kemaksiatan di depan semua manusia tanpa malu-malu. Sebagai balasannya, Allah akan menghisab mereka dengan disaksikan seluruh makhluk, sebagai penghinaan dan seksaan mental sebelum mereka berasa seksa Neraka.
Di hadapan seluruh makhluk, Alla SWT akan mempersoalkan semua dosa yang pernah dilakukan, daripada dosa yang besar sehinggalah yang sekecil-kecilnya. Setiap kali dia menyangkal dosa tersebut, Allah SWT mendatangkan saksi-saksi yang tidak dapat mereka dustakan,
"Pada hari ini kami tutup mulut mereka dan berkatalah kepada Kami tangan mereka, dan memberi kesaksian kaki-kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan." (Surah Yasin 36: 65)
Imam Abu Daud dalam kitab al-Ba'th meriwayatkan daripada Muawiyah bin Qurrah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Mereka akan datang pada hari Kiamat dengan mulut tertutup. Anggota tubuhnya yang pertama berbicara adalah paha dan tangannya."
Pendek kata, setiap orang yang melalui hisab yang sangat teliti ini tidak akan selamat. Sebagaimana dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Setiap orang yang dihisab pasti celaka."Dalam riwayat yang lain pula diriwayatkan, "...pasti diseksa." Imam an-Nawawi berkata, "Hal ini kerana kelalaian dan kekurangan menguasai sifat manusia. Sesiapa yang dihisab dengan sangat teliti, dia pasti celaka dan masuk Neraka."

Mujahir

Termasuk dalam kelompok ini ialah sebahagian umat Islam yang meniru tindak-tanduk orang kafir lalu membuang rasa malu dari hatinya dan terjun ke lembah maksiat tanpa rasa takut. Mereka bahkan menceritakan perbuatan dosa yang mereka lakukan dengan bangganya. Orang seperti ini disebut sebagai mujahir (jamak: mujahirun).
Dalam Sahihain daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda maksudnya,"Setiap umatku akan dimaafkan kecuali mujahirun." Ibn Hajar berkata, "Mujahir ialah orang yang terang-terangan menzahirkan maksiat atau orang yang menceritakan perbuataan maksiat yang pernah dilakukannya."[2]
Menampakkan atau menzahirkan maksiat merupakan perbuatan keji yang mencerminkan ketiadaan iman, kerendahan moral dan sikap penghinaan terhadap tatasusila kemasyarakatan.
Menceritakan perbuatan dosa yang pernah dilakukan, apatah lagi jika menceritakannya dengan penuh kebanggaan, sangat berlawanan dengan sikap manusia berbudi yang berasa malu mengingati kesalahan yang pernah dilakukannya.
Namun kelompok mujahirun dalam masyarakat kita semakin hari semakin ramai, melihat kepada gejala sosial yang berlaku dalam kalangan anak-anak muda kita hari ini. Rasa malu hampir hilang seiring dengan hilangnya kesedaran untuk tunduk kepada peraturan pergaulan lelaki dan perempuan yang telah digariskan oleh syarak. Bersentuhan kulit antara dua orang yang bukan mahram, khalwat dan perzinaan tidak lagi dianggap satu dosa melainkan sesuatu yang biasa dalam pergaulan. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun.
Masuk Syurga Tanpa Hisab
Selain daripada dua kelompak di atas, terdapat satu kelompok manusia yang begitu terhormat di sisi Allah SWT, sehingga mereka tidak perlu melalui proses hisab dan segala kengeriannya. Daripada Ibn Abbas, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Akan masuk syurga 70,000 daripada umatku tanpa (melalui) hisab. Mereka ialah orang yang tidak melakukkan tidak membaca jampi-jampi (ruqyah), tidak mempraktikkan kepercayaan tatayyur dan (akan tetapi mereka ialah) orang-orang yang selalu bertawakal kepada Tuhan mereka."[3]
Dalam riwayat lain diberitakan bahawa kelompok ini akan masuk ke Syurga bersama-sama sambil bergandingan tangan untuk menunjukkan bahawa mereka adalah saudara seagama yang saling mencintai. Tidak ada perasaan hasad dengki dan dendam antara mereka. Begitulah sifat mereka di dunia, dan begitu jugalah sifat mereka di Akhirat.
Sahl bin Sa'ad meriwayatkan sabda Rasulullah SAW, maksudnya:

"Akan masuk Syurga 70,000 orang atau 700 ribu, (perawi ragu pada salah satunya) daripada umatku sambil berpegangan tangan satu sama lain, mereka masuk ke Syurga (bersama-sama) barisan awal dan akhir mereka, wajah-wajah mereka bagaikan rembulan di malam purnama." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ya Allah, jadikanlah kami orang yang memiliki tawakal yang sempurna, cinta kepada semua Muslim dan janganlah Engkau jadikan di dalam hati kami sifat dengki dan dan dendam kepada saudara seiman. Jadikanlah kami dan orang tua kami termasuk hamba-hamba-Mu yang masuk Syurga tanpa hisab. Sesungguhnya Engkau selalu mendengar dan mengabulkan doa hamba-hamba-Nya. Amin ya Rabbal 'alamin.
_____________
Catatan Kaki:
1. Fath al-Bari, jilid 10, hlm. 599.
2. Fath al-Bari, jilid 10, hal. 597.
3. Riwayat al-Bukhari, kitab al-Riqaq no. 6472. Hadis ini diriwayatkan melalui pelbagai sanad hingga ke Imran bin Husain, Abu Hurairah dan lain-lain. Tatayyur adalah sebuah kepercayaan jahiliah yang menggantungkan suatu perkara dengan perlakukan binatang. Apabila seseorang hendak bermusafir misalnya, lalu melihat burung terbang ke arah kanan, maka mereka percaya bahawa perjalanan itu akan selamat. Namun jika melihat burung itu terbang ke kiri, maka mereka membatalkan perjalanan itu kerana percaya akan terjadi sesuatu yang tidak baik. Keyakinan ini dibatalkan oleh Islam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej