Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Saturday, September 20, 2014

Bagaimana Rupa Politik Dalam Islam

Bagaimana Rupa Politik Dalam Islam...... Sila hayati bersama

Keadilan Siyasah Syariyyah

Syari`at Islam telah menggariskan asas-asas pemerintahan yang menjamin keadilan kepada manusia sejagat dan mampu memandu manusia mendapatkan kemaslahatan dan keperluan hidup mereka di mana sahaja mereka berada dan di zaman mana mereka hidup sekalipun. Sumber pemerintahan Islam iaitu al-Quran al-Karim, telah menggariskan asas-asas yang menyeluruh yang menjadi dasar kepada sistem dan pentadbiran sesebuah kerajaan.

Walau bagaimanapun al-Quran tidak menaskan secara detail bentuk-bentuk atau cara-cara perlaksanaan sesuatu pemerintahan sebaliknya dibiarkan kepada ummah untuk menentukannya sendiri bentuk pemerintahan yang sesuai dengan keperluan dan kemaslahatan mereka. Keadaan ini menjadikan syari`at Islam lebih anjal dan dapat menyahut keperluan manusia yang berubah-ubah yang disebabkan oleh perubahan masa dan tempat.

Al-Quran menegaskan bahawa dunia dan segala isinya adalah ciptaan Allah dan milik mutlak-Nya. Al-Quran juga menjelaskan bahawa kuasa pemerintahan tertinggi adalah Allah S.W.T.[1] Di samping itu Al-Quran juga menegaskan bahawa manusia dilantik oleh Allah sebagai khalifahnya di muka bumi[2] . Lantaran itu mereka hendaklah menunaikan tugas-tugas khalifah ini sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran[3] . Al-Quran juga memerintahkan manusia dan mereka yang dilantik menjadi pemimpin supaya melaksanakan segala kewajiban mereka yang telah diamanahkan oleh Allah kepada mereka. Untuk itu al-Quran menaskan tentang kewajiban berlaku `adil dan memelihara keadilan sesama manusia[4] , kewajiban bersyura [5], memelihara hak-hak persamaan manusia[6], mbawa Rahmat kepada manusia[7], melarang melakukan kemusnahan[8], memerintahkan supaya menunaikan amanah dan janji[9] dan asas-asas hubungan luar.[10]

Begitu juga dalam hukum-hukum jenayah al-Quran hanya menentukan hukuman kepada lima jenis jenayah sahaja iaitu; jenayah hirabah [11], membunuh dengan sengaja tanpa hak atau tidak senganja [12] , menuduh orang-orang beriman melakukan zina[13] , jenayah berzina[14] dan pencuri[15]. Lain-lain jenayah tidak ditentukan hukumannya oleh al-Quran sebaliknya diserahkan kepada pemerintah untuk menentukannya mengikut apa yang dilihatnya bermadai untuk memelihara keamana, menyedarkan pesalah dan menakutkan orang ramai daripada melakukan jenayah tersebut. Ini ialah kerana akan wujud perbezaan keperluan antara satu tempat dengan satu tempat yang lain. Allah SWT hanya menggariskan asas umum iaitu balasan hendaklah setimpal dengan kadar jenayah[16].

Dalam undang-undang mu`amalat al-Quran hanyalah bermadai dengan mengharuskan pertukaran perkara yang diperlukan dan mengelakkan kemudaratan manusia dengan menghalalkan berjual beli, sewa-menyewa, gadaian dan akad-akad muamalat lain disamping Syari`at menunjukkan asas kepada muamalat ini iaitu wujudnya keredaan antara orang yang berakad. Begitu juga al-Quran mengharamkan mu`amalat yang boleh membawa kepada permusuhan seperti riba, judi, monopoli, rasuah dan merampas harta orang lain tanpa hak. Malah adalah menjadi asas dalam urusan muamalat ini bahawa sesuatu itu diharuskan sehinggalah wujud dalil yang mengharamkannya. [17]

Dalam sistem kewangan Islam mewajibkan pengeluaran zakat kepada orang-orang yang memiliki kekayaan dan menafkahkannya kepada lapan golongan yang memerlukan.[18] Walau bagaimanapun cara perlaksanaannya masih mempunyai ruang-ruang ijtihad para ulama dan pemimpin ummah dengan berpandukan asas-asas syarak.

Apa yang ingin ditonjolkan di sini ialah Allah S.W.T. telah menggariskan asas-asas penting sebagai panduan dan rujukan umat Islam dalam mentadbir sesebuah kerajaan. Sebaliknya Allah SWT tidak menggariskan sistem hidup dan prosedur-prosedur perlaksanaannya secara detil dengan menyempitkan ruang ijtihad kepada manusia. Keadaan syari`ah yang seumpama ini telah memberi ruang yang luas kepada ummah untuk menyusun sistem hidup mereka sesuai dengan perkembangan kehidupan, penemuan-penemuan ilmu dan teknologi dan budaya hidup mereka selagi ianya tidak terkeluar daripada batasan syarak. Namun begitu keadilan hidup untuk manusia sejagat hanya dapat ditegakkan sekiranya manusia menghormati asas-asas yang telah diletakkan oleh Allah SWT ini.

Keadilan ini juga akan terlaksana sekiranya pemilihan kepimpinan dilaksanakan oleh ummah sebagaimana yang ditunjukkan oleh syarak iaitu melalui kaedah syura dan bai`ah ahli al-halli wa al`qdi yang memenuhi syarat-syaratnya. Keadilan Islam hanya akan terlaksana sekiranya kepimpinan sesebuah negara beriman terhadap tanggungjawab sebagai khalifah dan tanggungjawab melaksanakan pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

Begitu juga keadilan Islam ini dapat dilihat di dalam syariatnya yang memperuntukkan hak-hak tertentu kepada rakyat . Islam mengiktiraf hak-hak persamaan sesama manusia dan juga hak-hak individu dalam urusan politik dan kemasyarakatan antaranya ialah:

Kebebasan Syakhsiah.

Kebebasan ini bermaksud Islam memberi hak kepada setiap individu untuk melakukan apa sahaja untuk kemaslahatan dirinya, seperti memelihara keselamatan diri, harta dan maruah dengan syarat tindakannya itu tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Ini termasuklah kebebasan diri, kebebasan tempat tinggal, kebebasan pemilikan, kebebasan kepercayaan, kebebasan berfikir dan kebebasan belajar. Maka untuk menjamin hak-hak ini maka Islam mengiktiraf dan memeliharanya dan merupakan hak yang sayugia di berikan oleh pemerintah kepada rakyatnya sama ada Islam atau ahli zimmah.

Kebebasan Peribadi.

Hukum-hukam Islam mengiktiraf hak-hak ini dan memelihara setiap diri individu daripada dicerobohi oleh orang lain dengan menentukan batas-batas halal dan haram, perintah dan larangan yang berkaitan dengan memelihara keperibadian setiap individu seperti diharamkan membuat tuduhan palsu, membunuh dan sebagainya dengan ditentukan hukuman yang setimpal. Ada hukuman yang telah ditentukan oleh syarak dan ada yang diserahkan kepada pemimpin untuk menentukan bentuk hukuman yang sesuai yang dinamakan takzir. Setiap jenayah merupakan pelanggaran terhadap batasan Allah dan hukumnnya juga sabit dengan ketentuan syarak.

Begitu juga Islam memerintahkan agar hukuman dijatuhkan sekadar jenayah yang dilakukan. Dalam perkara ini islam menentukan batas-batas kebebasan manusia dengan mengharamkan berzina, minum arak, menuduh seseorang berzina, saksi palsu dan sebagainya. Kesemua kesalahan ini telah ditentukan hukumannya dan semua rakyat termasuklah ahli zimmah tertakluk kepada hukum-hukum Islam yang berkaitan dengan perkara ini kecuali kesalahan meminum arak.[19]


Kebebasan Tempat Tinggal.

Pencerobohan kepada tempat tinggal manusia termasuk di dalam golongan yang memerangi Allah dan rasulnya.

Begitu juga Islam mewajibkan meminta izin sebelum memasuki sesuatu rumah yantg bukan miliknya.[20]

Kebebasan Bekerja Dan Meniliki Harta.

Islam mengiktiraf hak-hak ini dan memeliharanya dengan pelbagai hukum-hakamnya, antaranya:

Islam mensyariatkan berbagai tindakan yang boleh menindahkan milik atau manfaat seperti jual beli, sewa-menyewa, hutang-piutang, gadaian, pelaburan, syarikat dan sebagainya. Seterusnya Islam meletakkan asas kepada sahnya pertukaran ini dengan wujudnya kebebasan, keradaan dan pemilihan antara mereka yang membuat urusan ini.

Islam juga menegaskan haram memakan harta orang lain dengan cara yang batil.

Begitu juga Islam menentukan hukuman yang berat kepada mereka yang mencuri.

Kebebasan Beri’tiqad Kepada Bukan Islam.

Islam mengiktiraf hak ini kepada rakyat bukan Islam untuk meneruskaan kepercayaan mereka.[21] Ini ialah kerana asas keIslaman ialah kejelasan dan penerimaan tanpa paksaan atau taqlid.

Lantaran itu Islam membenarkan penganut agama lain melaksanakan amalan keagamaan mereka ditempat-tempat ibadat mereka dan menzahirkan perayaan mereka ditempat-tempat mereka. Walau bagaimanapun mereka tidak dibenarkan membina tempat ibadah baru di dalam tanah Islam atau menzahirkan perayaan mereka di sana.[22]

Kebebasan Berfikir.

Kebebasan berfikir ini sam ada dalam urusan keagamaan atau urusan lainnya. Sekiranya perkara yang tidak berkaitan dengan urusan agama maka setiap individu berhak untuk berfikir dan menyatakan pandangannya dengan cara yang mudah baginya. Telah berlaku dizaman Islam rasulullah s.a.w menerima pandangan sahabatnya dalam peperangan dan sebagainya.

Manakala dalam perkara yang berkaitan dengan agama maka setiap manusia berhak untuk berijtihad selagi ijtihadnya dalam perkara yang tidak ada nas mengenainya dan hendaklah ijtihad mereka berasaskan kepada asas-asas agama yang umum.

Manakala peristiwa penutupan pintu ijtihad dan mewajibkan umat Islam bertaqlid kepada mana-mana imam mujtahidin pada satu ketika dahulu adalah bertujuan untuk menutup pintu-pintu huru hara yang disebabkan terlalu banyak perselisihan pendapat. Apabila umat Islam berjaya menghadapi suasana perselisihan pendapat dengan dada yang terbuka dan berhujjah dengan hujjah maka tidak ada sebab mengapa tidak dibenarkan untuk berijtihad dalam perkara baru yang tiada nas.

Termasuk di dalam hak-hak ini ialah kebebasan untuk berucap, menulis, berhimpun dan sebagainya sama ada dalam ucapan itu terdapat kritikan kepada pemimpin dan pegawainya malah orang-orang bukan Islam berhak menyatakan pandangan mereka mengenai sikap umat Islam dan agama Islam. Malah umat bukan Islam boleh berpindah dari satu agama keagama lain.

Kebebasan Menuntut Ilmu.

Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu pengetahuan. Semua ilmu yang membawa kepada kemaslahatan ummah adalah dituntut oleh syarak supaya dipelajari lelaki maupun perempuan. Orang bukan Islam juga tidak dihalang untuk mempelajari ilmu-ilmu Islam disekolah-sekolah Islam.

Persamaan Hak.

Syiar persamaan hak merupakan syiar yang nyata dalam Islam . Islam tidak membezakan antara seseorang dengan seseorang yang lain sama ada rakyat maupun pemerintah. Kesemuanya adalah sama dihadapan perintah Allah dan hukum-hukumnya. Persamaan ini juga merupakan hak-hak ahli zimmah yang dipelihara oleh syarak. Walaubagaimanapun dalam kes-kes tertentu seperti menjadi pemimpin dan melantik pemimpin maka ahli zimmah tidak dibenarkan.

Ini ialah kerana sistem pemerintahan Islam berbeza dengan sistem pemerintahan sekular yang menjadikan asas-asas taqwa dan ijtihad sebagai syarat menjadi ahli al-halli wa al-`aqdi dan pemimpin.

Walaupun begitu rakyat bukan Islam berhak melantik wakil-wakil mereka diperingkat pelaksanaan bagi menuntut hak-hak mereka dan mereka juga dibenarkan untuk menggubal perundangan yang berkaitan dengan masyarakat mereka seperti dalam hal-hal yang berkaitan dangan perkahwinan.[23]

[1] Surah al-Mulk ,ayat 1-2.
[2] Lihat Surah al-Baqarah ayat 30.
[3] Lihat Surah al-Haj ayat 41, Surah al-Maidah ayat 48 dan Surah Sad ayat 26.
[4] Lihat Surah al-Nisa’ ayat, 85; al-Nahl ayat 90; al-Hujurat ayat 9.
[5] Lihat Surah Ali Imran ayat 159 dan Al-Syura ayat 38.
[6] Lihat Surah al-Hujurat ayat 9 dan 10.
[7] Lihat Surah al-Anbiya’ ayat 107.
[8] Lihat Surah al-A’raf ayat, 56 dan 85
[9] Lihat Surah al-Maidah ayat 1., surah al-Nahl ayat 91, dan surah al-Isra’ ayat 34.
[10] Lihat Surah al-Haj ayat 39,40; surah al-Baqarah ayat 90 dan 193; al-Anfal ayat, 39 dan 61; al-Taubah ayat 12,13 dan 96
[11] Lihat Surah al-Maidah ayat 33.
[12] Lihat Surah al-Baqarah ayat 178 dan a79; surah al-Nisa’ ayat 92 , Surah al-Maidah ayat 45 dan surah al-Isra’ ayat 33.
[13] Surah al-Nur ayat 4.
[14] Lihat Surah al-Nur ayat 2.
[15] Lihat Surah al-Maidah ayat 38.
[16] Lihat Surah al-Nahl ayat 126.
[17] Lihat Surah al-Baqarah ayat 188, 275 dan 276, Ali Imran ayat 130, Al-Nisa’ ayat 2 ,10 dan 28.
[18] Lihat Surah al-Taubah ayat 60 dan103
[19] Al-Maududi; Huquq Ahli Zimmah Fi al-Daulah al-Islamiyah, Kaherah Dar al-Ansar.
[20] Lihat surah al-Nur ayat, 27,28 dan 29.
[21] Lihat Surah al-Baqarah ayat 256.
[22] Al-Maududi; op.cit.
[23] Ibid.

http://siasahharokiah.wordpress.com/keadilan-siyasah-syariyyah/

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej