Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Monday, September 22, 2014

DILEMA LARANGAN WANITA SEBAGAI PEMIMPIN

DILEMA LARANGAN WANITA SEBAGAI PEMIMPIN

Perkembangan sosio-politik terkini telah menimbulkan polemik berkaitan isu ini. Biarpun begitu banyak dalil dan nas dari quran dan hadis yang menetapkannya, namun masih ada pihak-pihak yang mencari alasan untuk ‘membenarkannya’.

Kita mengakui beriman dengan mengikut alquran dan sunnah. Nabi SAW sudah jamin dalam khutbah terakhir baginda bahawa jika kita ikut kedua-duanya (bukan salah satu), akan dijamin kita tidak akan tersesat selamanya. Ironinya, walaupun banyak firman dan hadis yang menetapkan larangan ini, namun kita masih ingin mencabarnya.

Sunnah Nabi SAW adalah praktis baginda sejak dari menerima wahyu pertama hingga wafatnya. Tiada sejarah yang diriwayatkan adanya baginda atau khulafa’ ar-Rasyidiin melantik pemimpin dan ahli syuro umum dari kalangan wanita. Bahkan begitu bernilainya wanita sahingga ia wajib dihijabkan agar terpelihara dari tatapan umum. Bagaimana pula boleh ia dijadikan pemimpin umum yang pastinya akan mempamerkan diri di khalayak ramai?

DALIL YANG MELARANG DAN RASIONALNYA

Umum mengetahui bahawa terdapat kekurangan pada diri wanita itu pada fizikalnya, akalnya, dan emosi yang akan mempengaruhi fikirannya. Wanita juga mempunyai halangan-halangan tertentu, seperti perlukan mahram ketika bermusafir, tidak boleh menjadi wali, datang haid, hamil, menyusukan anak dan nifas. Itu fitrah penciptaan yang telah Allah SWT jadikan.

Pemimpin pula bekerja tidak tentu masa. Ia perlu mengambil tahu berkenaan keadaan rakyat yang memerlukan dia bermusafir ke wilayah jajahan serta bercampur gaul dengan orang ramai. Ada kalanya pemimpin perlu memimpin tentera dalam jihad, atau bersemuka dengan musuh untuk melaksanakan perjanjian.

Dalam Islam, pemimpin juga WAJIB mengikat baiat dengan umat dan kelompok-kelompoknya, samada lelaki maupun wanita, semasa aman maupun perang perang. Ini sangat tidak sesuai dengan keadaan wanita mengikut syarak.

Selain dari tiadanya amalan itu di zaman Rasulullah SAW, ia juga tidak pernah disaksikan oleh Ijmak di zaman para Khalifah al-Rasyidin dan Imam-imam kurun yang tiga. Padahal dalam kalangan mereka juga terdapat wanita-wanita yang terpelajar dalam ilmu agama yang menjadi rujukan dalam ilmu-ilmu al-Quran, hadis, dan hukum-hakam.

DALIL BERIKUT INI MENEGASKAN KEPIMPINAN DARI KALANGAN LELAKI, ATAU MELARANG PERLANTIKAN WANITA SEBAGAI PEMIMPIN SECARA MUHKAMAT.

Abu Bakrah r.a. berkata, tatkala ada berita sampai kepada Nabi SAW bahawa bangsa Parsi melantik puteri Kisro (gelaran raja Parsi dahulu) menjadi raja, baginda lantas bersabda,

“Suatu kaum itu tidak akan berjaya apabila mereka menyerahkan kepemimpinan mereka kepada wanita”.” (HR. Bukhari no. 4425, juga Imam at-Tirmizi, Imam an-Nasaie’)

“Sebaik-baik saf untuk laki-laki adalah paling depan sedangkan paling buruknya adalah yang paling belakang, dan sebaik-baik saf untuk wanita adalah paling belakang sedangkan paling buruknya adalah yang paling depan.” (HR. Muslim no. 440)

Berikut ini kami senaraikan dalil naqli dari alquran yang jelas menampakkan lelaki sebagai susuk pemimpin yang telah ditetapkan.

QS:4. An Nisaa’ 34. “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain…”

QS:4. An Nisaa’ 11. “Allah mensyari’atkan bagimu tentang anak-anakmu iaitu: bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; ..”

QS:16. An Nahl 43. “Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”,

QS:21. Al Anbiyaa’ 7. “Kami tiada mengutus rasul rasul sebelum kamu melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui”.

QS:24. An Nuur 37. “Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak oleh jual beli dari mengingati Allah, dan mendirikan solat, dan berzakat..” (wanita ada masanya uzur, tidak solat)

QS:6. Al An’aam 9. “Dan jika Kami jadikan seorang malaikat, tentulah Kami jadikan dia seorang laki-laki ..” (pemimpin yang berkuasa harus bersifat neutral, gagah dan ia ada pada lelaki).

QS:7. Al A’raaf 141. “..Mereka (Firaun dan kaumnya) membunuh anak-anak lelakimu dan membiarkan hidup wanita-wanitamu. Dan pada yang demikian itu cobaan yang besar dari Tuhanmu.”

QS: 12. Yusuf 109. “Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki yang Kami berikan wahyu kepadanya diantara penduduk negeri.,,” (pemimpin adalah utusan rakyat).

QS: 14. Ibrahim 6. “.. mereka (pengikut Fir’aun) menyembelih anak-anak laki-lakimu, membiarkan hidup anak-anak perempuanmu; dan pada yang demikian itu ada cobaan yang besar dari Tuhanmu.”

QS: 28. Al Qashash 4. “Sesungguhnya Fir’aun .. menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan”.

QS: 37.Ash Shaaffaat 150. “Atau apakah Kami menciptakan malaikat-malaikat berupa perempuan dan mereka menyaksikan?”

DALIL BERIKUT INI MENGKIASKAN KEPIMPINAN DARI KALANGAN LELAKI, ATAU MELARANG PERLANTIKAN WANITA SEBAGAI PEMIMPIN SECARA MUTSYABIHAT.

“Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solihah.” (HR. Muslim no. 1467)

“Siapa saja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melintasi suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina.” (HR. Nasaii ibn Khuzaimah & Hibban).

“Bersikaplah yang baik terhadap wanita karena sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk. Bahagian yang paling bengkok dari tulang rusuk tersebut adalah bahagian atasnya. Jika engkau memaksa untuk meluruskan tulang rusuk tadi, maka dia akan patah. Namun, jika kamu membiarkan wanita, ia akan terus bengkok, maka bersikaplah yang baik terhadap wanita.” (HR. Bukhari no. 5184)

“Aku tidak pernah melihat orang yang kurang akal dan agamanya yang mampu meluluhkan hati seorang laki-laki yang tegas kecuali kalian (wanita).” Mereka (para wanita) bertanya: “Apa yang menyebabkan kurangnya agama dan akal kami, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab:

“Bukankah persaksian wanita seperti setengah persaksian seorang lelaki?” Mereka menjawab: “Ya.” Beliau menjawab: “Maka itulah yang dimaksud kurang akalnya. Bukankah apabila wanita haid, ia tidak solat dan puasa?” Mereka menjawab: “Ya.” Beliau bersabda: “Itulah yang dimaksud kurang agamanya.” (HSR. Bukhari 364 dan Muslim 79)

“Dan wanita menjadi pemimpin di rumah suaminya, dia akan dimintai pertanggungjawaban mengenai orang yang diurusnya.” (HR. Bukhari no. 2409)

“Janganlah kalian melarang wanita-wanita kalian dari masjid-masjid, akan tetapi rumah-rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka.” (HR. Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah; SHAHIH).

“Sesungguhnya wanita adalah aurat. Sehingga ketika ia keluar rumah, ia akan disambut oleh syaithan. Dan kondisi yang akan lebih mendekatkan dirinya dengan Rabbnya adalah ketika ia berada di rumahnya.” (HR. Ibnu Khuzaimah; SHAHIH)

QS:Al-Ahzab-33:33. “Dan hendaklah kamu (para isteri) tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu….”

QS: Al-Baqarah-2:228 “.. orang-orang lelaki mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan.”

QS; An Nisaa’-4:32. Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Karena) bagi orang laki-laki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

QS;Al Baqarah-2:282 “Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki (di antaramu). Jika tak ada dua oang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu ridhai, supaya jika seorang lupa maka yang seorang mengingatkannya.”

* * *
Mana mungkin wanita yang bersifat hiasan dan pada dasarnya bengkok mahu disamakan dengan fungsi lelaki yang bersifat qowwam dan tegak? Jika dasar sifat asal wanita itu sudah bengkok dan memerlukan faktor luaran untuk meluruskannya, bagaimana mungkin boleh kita mendapat kepimpinan yang lurus?

Musuh utama Allah seperti Firaun, Abu Jahal, Abu Lahab dan lain-lain semuanya lelaki. Demikian juga perosak negara dan penjenayah dari dahulu hingga kini. Jika ada wanita pun banyaknya dalam bentuk hasutan dan fitnah sahaja. Bagaimana pemimpin wanita mahu berhadapan dengan musuh-musuh lelaki begini?

Lebih penting lagi menyentuh urusan penjagaan anak-anak. Ia sangat sesuai dengan fitrah wanita yang halus dan teliti. Anak-anak yang terdidik bakal membentuk watan negara yang baik. Sekiranya wanita berkelayakan ini memimpin institusi keluarga, dan lelaki yang berkelayakan pula memimpin sebuah negara dan rakyatnya dibentuk oleh wanita, maka ini sangat ideal. Ia saling sokong menyokong. Ini sangat tepat dengan mahunya Allah dan sunnah RasulNya serta tepat pula menurut hukum aqal.

Jika wanita keluar memimpin, maka anak dan suami akan terbiar dan liar. Akhirnya umat menjadi liar dan sukar dipimpin. Hari ini wanita terlalu berhasrat memimpin negara sedangkan anak dan suaminya terbiar liar menjadi perosak Negara akibat terlepas dari jagaan yang terbaik. Tidakkah terlalu banyak contoh begini di depan mata sekarang?

DALIL YANG MEMBENARKAN & PEMANSUHANNYA

Ramai yang keliru dengan fatwa dari golongan ulamak akhir zaman yang mengharuskan perlantikan wanita sebagai pemimpin. Ideologi ini banyak dikaitkan dengan pengaruh liberalisma dan pluralisma. Antara yang paling diikuti ialah fatwa peribadi dari Dr. Yusof al-Qaradhawi.

Kami telah membuat carian dan mensyurokan analisanya. Di antara dalil yang mereka gunakan dengan meluas ialah dengan memetik kisah Puteri Balqis, Sultanah Acheh, kepimpinan Aishah r.a. dalam perang Jamal dan beberapa potong ayat quran yang ditakwil sebagai memberikan kelonggaran wanita untuk memimpin.

Di samping ianya suatu amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW, kami juga dapati hujjah yang dikeluarkan tidak secara berjamaah ini mudah disangkal. Kerana itu jika kita perhatikan betul-betul jelaslah takwil ayat-ayat yang dirujuk itu tidak dari Allah dan Rasullullah SAW.

QS:An-Nisa-4:82 “Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Qur`an? Kalau kiranya Al-Qur`an itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.”

Antara contoh hujjah utama yang diguna oleh golongan yang menyokong ialah mengambil contoh kepimpinan Puteri Balqis (QS. An-Naml:23-24), yang dipetik dari firman berikut,

An-Naml 23-24: “Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintahkan mereka, dan dia dianugerahi segala sesuatu serta mempunyai singgasana yang besar. Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah; dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak dapat petunjuk”,

Kita harus baca kisah ini secara keseluruhan. Kesimpulan ringkasnya ialah, kepimpinan Puteri Balqis itu adalah sebelum beliau beriman. Jelas kelihatan ia menjadi takut dan menyerah kalah dengan mudah melalui jalan pintas iaitu dengan menawarkan hadiah kepada nabi Sulaiman a.s.. Akhirnya beliau dikalahkan oleh Nabi Sulaiman a.s., seorang LELAKI utusan Allah. Jadi, kami tidak nampak mengapa ini boleh dijadikan hujjah untuk mempengaruhi umat membenarkan wanita menjadi pemimpin?

Adapun hujjah mencontohi kepimpinan Ummul Mukminin A’isyah r.ha dalam peristiwa perang Jamal sangat rapuh. Pertama ia berlaku selepas Nabi SAW wafat yang memang telah mewasiatkan agar beliau tidak keluar rumah. Keduanya kerana beliau sendiri mengaku tersilap dan kesal. Bukanlah beliau keluar untuk berperang tetapi untuk mendamaikan. Apa yang berlaku adalah fitnah dan kekeliruan angkara kaum munafiqin.

Dalil akal terkini merujuk kepimpinan Sultanah Acheh juga rapuh. Selain ia membawa kekalahan, ia juga berlaku jauh dari sirah Rasul. Selain dalil besar itu, dalil-dalil mereka yang lain seperti berikut ini juga terlalu rapuh untuk menghalalkan apa yang jelas telah nabi tegah ini.

Surah At-Taubah:71 yang mengatakan “..lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain..”>>> Ini merujuk kepada peranan bersama membentuk keluarga dan warganegara. Wanita melahir dan mendidik di rumah agar lelaki lebih mudah memimpin anak watan yang terdidik itu di luar.

Al-Baqarah: 228, “isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama..” dalil ini dimansuhkan oleh ayat itu sendiri kerana di hujungnya Allah katakan, “..lelaki mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan..”.

HAD KEPIMPINAN WANITA

“Dan wanita menjadi pemimpin di rumah suaminya, dia akan diminta mempertanggungjawabkan mengenai orang yang diurusnya.” (HR. Bukhari no. 2409)

Ini adalah antara batasan kepimpinan yang jelas telah dinukilkan selain dari begitu banyak hadis dan firman yang lain. Kerana itu pihak-pihak yang mengharuskan kepimpinan wanita turut mensyaratkan yang berikut :-

a. Dr. Yusof al-Qaradhawi menyatakan syarat kepimpinan wanita adalah mereka terbukti tidak gagal dalam mengurus anak-anak dan suami. Beliau meletakkan syarat umur 45 ke atas.

b. Tiada pemimpin lelaki yang lebih layak untuk menyandang jawatan tersebut ketika itu.

c. Pemimpin wanita ini tidak membuat keputusan secara peribadi dalam memutuskan hal-hal besar negara, bahkan mestilah membuat keputusan secara kolektif dan syuro bersama pemimpin pelbagai peringkat. Ini merujuk kisah Puteri Balqis yang sebenarnya belum Islam ketika sunnah kepimpinannya dirujuk.

d. Wanita yang terlibat dalam hal kepimpinan sudah tentu akan berlaku percampuran yang banyak dengan kaum lelaki maka, menjadi kewajiban baginya untuk memelihara adab-adab Islam semasa keluar rumah seperti berhijab dengan sempurna, sentiasa ditemani mahram, tidak berwangian dan semua larangan syarak. Ini yang hampir mustahil untuk dipenuhi.

e. Mendapat kebenaran suami dan wali.

f. Wanita hanya boleh memimpin kalangan wanita, khususnya dalam hal ehwal kewanitaan sahaja. Ini bukanlah diskriminasi Islam terhadap wanita. Ia adalah satu keadilan, iaitu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya, sesuai dengan fitrah penciptaan wanita.

KESIMPULAN

Para pengamal liberalisme dan ‘Sister In Islam’ (SIS) yang berusaha keras untuk mengangkat hak wanita menjadi sama rata seiring lelaki perlu dibendung. Fahaman ini telah meluaskan legasi Amina Wadud yang dengan berani bertindak melanggar batasan syariat dengan mengimami solat, walhal belakangnya disertai makmum lelaki. Janganlah kita terikut-ikut fitnah Dajjal ini.

“Barang siapa yang menyerupai suatu kaum maka ia termasuk dari mereka.” (HR. Abu Dawud dan dishahihkan oleh Ibnu Hibban).

Bagaimana harus kita terima wanita sebagai pemimpin sedangkan fitrah mereka sendiri memerlukan wali berupa lelaki sejak dari dalam rumah lagi. Walaupun Mariam yang melahirkan Isa a.s, tetapi Isa yang jadi nabi dan rasul, tidak Mariamnya. Begitu juga Siti Hajar yang melahirkan Ismail.

“Apa saja yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkannya….” (Al-Hasyr: 7)

Ketetapan tidak melantik pemimpin di kalangan wanita ini jelas dalam quran dan adalah amalan Nabi SAW hinggalah jatuhnya empayar Islam Uthmaniyyah. Ia seharusnya menjadi pegangan kita sampai bila-bila.. Mengingkari perkara ini, bererti kita mempertikaikan keadilan penciptaan Allah Ta’ala terhadap manusia seluruhnya!

Akhirnya bagi yang bertanya, pegangan kami adalah wanita tidak layak dilantik sebagai pemimpin. Jika dengan begitu banyak dalil dan huraian di atas masih ingin kita langgar, maka bersedialah menerima kifarahnya. Kami telah kongsikan hidayah ini dan kami berlepas diri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej