Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Monday, September 15, 2014

GAMBARAN BAGAIMANA ROSAKNYA SEKULARISMA

GAMBARAN BAGAIMANA ROSAKNYA SEKULARISMA

Apabila pelajaran dan pendidikan tidak bertunjangkan tauhid atau ketuhanan. Maka penjajahan akal fikiran pun berlaku di kalangan insan. Itulah yang dinamakan fikiran sekular. Fikiran sekular itulah yang akan berlaku penjajahan ke atas penjajahan oleh hawa nafsu pula. Apabila fikiran dijajah oleh faham sekular dan nafsu. sungguh dahsyat dan bahaya kepada manusia. Kerana penjajahan terhadap akal fikiran orang tidak sedar dan payah disedarkan...

Ideologi sekularisma tajaan Barat yang memisahkan urusan kehidupan dunia ini dari agama, dengan harapan terciptanya hidup yang indah, rupa-rupanya telah memberi hasil yang sangat buruk. Kehidupan manusia jadi begitu pincang dan cacat.

Di Barat terutamanya, di mana pusat ajaran sekular ini dijayakan, masyarakat manusia sudah hilang identiti kemanusiaannya. Sudah rosak serosak-rosaknya. Tanpa agama, mental dan spiritualnya dikuasai nafsu dan syaitan 100 peratus, hingga jadilah manusia seperti syaitan atau binatang. Akal dan jiwa yang murni sudah tidak berfungsi sama sekali. Kita orang Timur pun, walaupun katanya beragama, tapi kerana sudah dirasuk oleh ajaran sekular tajaan Barat itu, sudah jadi senasib dengan orang Barat. Sebab agama tidak dijadikan panduan hidup, cuma tinggal pada namanya saja. Oleh itu kita perlukan panduan untuk hindarkan diri dari sistem sekular yang rosak lagi merosakkan dengan melihat apakah gambaran sebenar yang berlaku dalam diri, masyarakat hingga ke negara.

Kalau Barat sudah rosak 100 peratus, kita di Timur sudah 80 peratus rosak. Masyarakat manusia yang sepatutnya hidup dalam keadaan berbaik-baik telah jadi kelam-kabut dan huru-hara. Pemimpin yang patutnya menjadi payung menaungi rakyat telah jadi perompak dan pengganas kepada rakyat. Ibu ayah yang patut jadi ketua rumahtangga telah jadi penjahat-penjahat yang menyeksa anak-anak. Ulama yang patut jadi obor menaungi masyarakat, telah jadi peluru-peluru berpandu yang menembak-nembak rakyat hingga masyarakat jadi kucar-kacir. Orang-orang kaya yang patutnya jadi bank masyarakat, telah jadi lintah yang menghisap darah rakyat. Aduh! Sudah rosak sungguh masyarakat manusia ini. Mungkin masyarakat di dalam hutan sana lebih bersih dari masyarakat di kampung dan di pekan ini, cuma mereka tidak bertamadun. Mari kita senaraikan ciri-ciri masyarakat sekular yang rosak binasa ini dengan melihat pada hubungan antara individu-individu dalam masyarakat dan antara negara-negara.

Supaya kita sedar bahawa kita sudah terlalu dirosakkan oleh sekularisme dan perlu sekali membaiki diri.

1. Suami isteri

Ikatan perkahwinan itu tujuannya untuk menyatukan kehidupan agar lelaki dan perempuan memperolehi kesempurnaan hidup dan membina rumahtangga bahagia bersama-sama anak-anak. Suami jadi ketua dan menjaga polisi, isteri jadi pengurus melaksanakan polisi. Sementara anak-anak jadi kakitangan yang akan menjayakan pembinaan rumahtangga yang indah dan bahagia. Mereka saling bekerjasama dan rasa bersama. Tetapi rata-rata dalam rumahtangga di dunia kini, suami isteri tidak boleh berbaik-baik. Sering berselisih faham, berkrisis dan berpecah-belah. Fahaman sekular dan ilmu sekular tidak mampu untuk membuatkan suami isteri bersefahaman, bertolak-ansur, hormat-menghormati dan mengekalkan kasih sayang.

Kegilaan pada dunia dan mata benda, serta sikap individualistik telah memutuskan kasih dan rasa kemanusiaan sesama manusia sekalipun antara suami dengan isteri. Mereka tinggal serumah tetapi tidak sehaluan. Masingmasing memaksa-maksa diri untuk menjalankan tanggung-jawabnya. Isteri terpaksa berlakon-lakon taat, suami memaksa-maksa diri memikul beban keluarga. Bertemu terasa satu penyeksaan. Salah yang kecil jadi masalah besar. Suami kalau ingin ‘mendekati’ isteri, tanpa persetujuan isteri, dituduh rogol. Pergaduhan sering terjadi. Kadang-kadang sampai pukulmemukul dan berbunuhan. Masing-masing berfikir hendak bercerai tetapi terhalang oleh anak-anak atau tidak mampu membayar harga perceraian yang cukup mahal atau demi memiliki harta bersama. Yang mana kalau bercerai, takut jadi miskin dan papa. Demikianlah rosaknya hidup manusia sekular ini. Daripada 10 rumahtangga, mungkin satu sahaja yang elok. Selebihnya bagaikan berada dalam penjara yang menyeksakan
kedua pihak.

2. Anak-anak dan ibu bapa

Di dalam rumahtangga orang sekular, yang ibu dan ayah sering bertengkar dan bermasalah, anak-anak pun tentu berjangkit sama. Suasana hidup yang mesra, berkasih sayang dan hormat-menghormati susah sekali berlaku. Suasana tegang, pertengkaran, derhaka, benci-membenci adalah perkara biasa. Anak-anak yang sepatutnya begitu kasih dan taat serta memuliakan orang tua, tetapi tidak demikian jadinya. Ajaran sekular mengajar anak-anak bertanya ibu bapa, “Mengapa lahirkan saya ke dunia?” Jasa ibu bapa tidak dinilai, sebab dianggap memang itu tanggungjawab setiap ibu bapa. “Mereka yang mengada-ada nak lahirkan saya, mereka tanggunglah bebannya!” Begitu balasan anak pada susah payah orang tua yang membesarkannya. Sikap mementingkan diri yang disuburkan tanpa kawalan dalam fahaman sekular telah meletakkan rumahtangga dalam ketegangan dan pecah-belah. Tinggal serumah tetapi hati berjauhan. Hidup terasa dalam penjara; rasa terpaksa untuk ikut kata, terpaksa untuk buat kerja, terpaksa segalagalanya. Ibu bapa seolah-olah menyesal melahirkan orang yang menyeksa hidupnya. Pengorbanan membesarkan anak terasa satu kerugian dan bebanan. Bertemu anak-anak adalah pengalaman yang menjijikkan dan amat menyakitkan.

Kalau di Barat, pecahnya institusi keluarga terlihat bilamana anak kena buat temujanji dahulu sebelum datang ke rumah ibu bapanya. Tanpa temujanji, kedatangannya tidak dilayan atau tertolak. Begitulah sebaliknya ibu bapa yang hendak ke rumah anaknya, kena buat temujanji terlebih dahulu. Gambarkan, buah hati, cahaya mata yang kita tatang-tatang telah jadi orang asing, yang pertemuan dengannya dibataskan oleh undang-undang. Bukankah ini penyakit sosial yang membunuh kebahagiaan hidup manusia? Itulah hasil menganut fahaman dan kehidupan sekular! Sekularisme tidak mampu menyelesaikan masalah antara ibu bapa dan anak-anak. Keadaan yang melanda seluruh dunia ini terbiar sudah sekian lamanya. Ada suarasuara mengkritik tetapi penyelesaiannya tetap tiada! Sebab pengkritik tidak membawa contoh atau tidak memaparkan
masyarakat model.

3. Guru dan murid

Sebagaimana rosaknya hati dan fikiran anak-anak terhadap ibu ayah dan begitu juga sebaliknya, demikianlah yang berlaku di sekolah antara murid dan guru. Antara seorang yang memerlukan ilmu dan didikan dengan yang memberikan ilmu dan didikan. Dunia sekular telah menghanyutkan
manusia sampai ke tahap guru dan murid boleh bergaduh, benci-membenci dan biadab terhadap satu sama lain.

Sikap individualistik telah menjahanamkan rasa fitrah. Guru bencikan muridnya dan murid bencikan gurunya. Bukan saja di Barat, bahkan di negara Timur Tengah, yakni negara-negara anak didikan Barat, suasana kehidupan di sekolah sudah teruk sekali. Bukan saja di kelas-kelas pengajian
akademik, malah dalam sesetengah kelas pengajian agama sekalipun, sudah berlaku perlakuan guru menjerit-jerit memaki hamun anak murid, anak murid mengangkatangkat kaki ke meja, duduk terkangkang, melawan guru dan seumpamanya. Di setengah negara di Timur, termasuk Malaysia, sudah ada sekolah yang jadi ‘anak angkat’ polis. Yakni polis terpaksa berkawal di sana kerana telah berlaku banyak kes jenayah. Sekolah bukan lagi tempat melahirkan insan berguna tetapi bagaikan kandang harimau dan kambing, yang penghuninya melepaskan selera masing-masing.

Hasilnya, bergelimpanganlah bangkai-bangkai “kambing” yang akan membusukkan dunia. Itulah sekularisme. Ia membuatkan guru-guru bekerja kerana makan gaji dan murid pun belajar untuk suatu hari nanti juga akan dapat makan gaji. Kegilaan pada gaji telah mencabut rasa murni seorang guru untuk melayan dan mendidik muridnya dengan sebaik-baiknya. Juga membunuh rasa murni murid untuk sayang dan hormatkan gurunya. Tiap-tiap hari guru tunggu gaji sedangkan hati jauh sekali untuk bertemu dengan murid. Murid pula ghairah dengan pekerjaan bergaji besar, tetapi malas sekali ke sekolah untuk berdepan dengan harimau-harimau garang di depan kelas. Itulah kehidupan di sekolah dalam alam sekular. Pusat pendidikan jadi tempat yang penuh masalah. Sekularisme tidak mampu menyelesaikan masalah yang kronik ini dan membiarkannya menjadi budaya yang menyeksakan hidup manusia.

4. Ketua pejabat dengan kakitangan

Manusia-manusia yang bermasalah di rumah, seperti yang dihuraikan di atas, tentu menyambung atau mengulang masalah yang sama di tempat kerja. Sedangkan dengan ibu ayah pun tidak berlaku kasih sayang, inikan pula dengan kawan-kawan. Tentu lebih-lebih lagi tidak boleh berbaik-baik.
Akibatnya, manusia akan sentiasa tegang (tension). Bermula dalam perjalanan hendak ke pejabat lagi, sudah terganggu oleh masalah jalan raya, manakala di pejabat terpaksa bertemu dengan bos yang bagaikan singa garang. Atau bos yang bersikap pilih kasih. Kawan-kawan sepejabat pula bagaikan musuh. Terhadap kelemahan kita, bukan diberi simpati tetapi dihina-hina dan kita dijatuhkan. Manakala terhadap kejayaan kita pula ada saja yang hasad dengki. Hampir-hampir tidak ada manusia yang mahu bergembira bersama atau bersedih bersama. Begitulah secara umum keadaan manusia di pejabat-pejabat masyarakat sekular.

Majoriti pekerja pejabat yang punya sijil-sijil tinggi dan rendah itu, tidak ada ilmu bagaimana hendak cetuskan suasana pejabat yang setiap orang saling berkasih sayang; yang melegakan ketegangan jiwa dan fikiran manusia-manusia di dalamnya. Ketua-ketua pejabat tidak tahu hendak kontrol suasana yang tidak damai itu. Kerana dia sendiri tidak pandai kontrol hati atau perasaannya. Ilmu sekular walaupun sudah cukup tinggi, tidak berupaya menyelamatkan manusia dari masalah-masalah hidup mereka. Manusia cuma disuruh bekerja macam mesin-mesin dalam pejabat itu. Sedangkan perasaan dan fikiran manusia tidak diurus supaya selari dan teratur. Jadilah manusia macam mesin rosak, yang bekerja tersangkut-sangkut, tidak beres dan kurang berhasil. Berbeza dengan mesin sihat, yang khidmatnya cemerlang sekali. Sekularisme tidak tahu merawat jiwa dan fikiran manusia. Ia cuma tahu menangani hal-hal lahiriah semata-mata. Sebab itu manusia-manusia rosak jiwanya oleh ideologi Barat yang karut ini walaupun kemajuan lahiriahnya menjangkau langit.

5. Di tengah masyarakat

Gambaran yang dapat dilihat di tengah masyarakat sekular, yang telah memisahkan roh manusia daripada fizikalnya, yang telah mencabut fitrah murni kerana mengutamakan nafsu, yang telah mengenepikan nilai-nilai kasih sayang kerana mementingkan kebendaan dan diri sendiri, ialah:

a. Wujud kasta-kasta dalam masyarakat. Jurang kehidupan antara orang besar dengan orang kecil, orang kaya dengan orang miskin amat ketara. Jangan harap orang-orang bawahan boleh berkawan dengan orang atasan. Jangan harap orang-orang miskin boleh bebas pergi ke rumah orang kaya. Ada pagar-pagar besi yang mengepung rumah-rumah orang-orang kaya daripada dimasuki oleh sebarang orang. Alangkah kejamnya pemandangan ini. Sedangkan dalam masyarakat manusia yang baik, orang kaya menjadikan rumahnya pentas orang miskin berhibur, dengan kenduri, khidmat dan silaturrahim.

b. Dalam masyarakat sekular, kalau seseorang itu tersesat di tengah bandar, cukup sulit baginya mendapatkan pertolongan. Walaupun ribuan manusia lain ada di sekeliling kita, jangan harap mereka mudah-mudah mahu tolong. Rasanya lebih baik kalau sesat di hutan. Sebab kita tidak takut ditipu oleh binatang.

c . Muda-mudi sekular di zaman ini sudah rosak sama sekali. Mereka bukan lagi ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Bahkan mereka jadi pemuda dan pemudi yang menjadi masalah pada negara. Ya, ada yang baik, yang berusaha untuk mempertahankan bangsa dan negara. Tetapi kecil bilangannya dibandingkan dengan yang berfoya-foya, derhaka, leka dan bermain-main. Ertinya, sistem pendidikan sekular gagal melahirkan manusia-manusia yang bertanggungjawab pada keluarga, agama, bangsa dan tanahair. Sekularisme tidak ada cara untuk memproses manusia supaya berfungsi sebagai manusia. Nafsu sahaja yang digemukkan, tapi roh atau jiwa dan akal manusia tidak dibentuk untuk berfungsi menjadikan manusia itu betul-betul manusia. Akhirnya, manusia mendekati watak haiwan atau syaitan. Demikian acuan yang rosak mengeluarkan kuih yang juga rosak.

Di tengah kehidupan, manusia saling ejek-mengejek dan perli-memerli. Kata-mengata jadi budaya biasa. Orang besar, cakap pun besar dan meninggi. Terhadap rakyat, mereka mengugut-ugut. Orang bawah tiada tempat dalam masyarakat. Bantuan kepada mereka hanya untuk orang yang sebulu. Di negara Barat, terutamanya, sebahagian besar polis macam harimau; walaupun tidak menerkam, tetapi mengaum-ngaum, menggertak-gertak dan menakut-nakutkan orang awam. Demikian sifat-sifat manusia yang sudah hilang perikemanusiaan.

6. Negara dengan negara

Hasil mengamalkan ajaran sekular, antara jiran pun saling tidak kenal, apalagilah antara dua negara. Umumnya negara sekular yang berjiran saling menyimpan dendam kesumat antara satu sama lain. Sempadan antara negara adalah kawasan yang sangat sensitif. Rakyat berada dalam keadaan sulit dan susah. Sebab tersilap s&it, timbullah peperangan dan pergaduhan antara dua negara. Ia boleh berlaku bila-bila masa saja. Inikah kebaikan, keadilan dan keselamatan yang diperjuangkan? Sedangkan sepatutnya negara-negara yang berjiran saling berbaik-baik, saling membuka pintu untuk rakyat masing-masing ziarah-menziarahi dan melihat negara orang. Sempadan tidak perlu dipagar dan pasport antarabangsa sepatutnya tidak perlu diwajibkan. Tetapi mengapa tidak jadi begitu?

Kalau ini bukan sengaja dirancang untuk rosakkan dunia, ia disebabkan manusia sudah tidak tahu untuk cetuskan kasih sayang, keharmonian dan keselamatan di kalangan mereka. Mereka tidak tahu hendak mendidik, memimpin dan membentuk manusia supaya tidak bergaduh, dan bermusuh, sebaliknya hidup berkasih sayang dan bekerjasama. Kerana tidak nampak jalan ke sana, maka mereka biarkan manusia berada dalam suasana hidup yang tegang, kusut dan menggelisahkan.

Di rumah tidak seronok, dalam perjalanan tidak tenang, di sekolah atau pejabat tidak terhibur, suasana politik memeningkan kepala dan di tengah masyarakat tidak ada ketenteraman. Maka hiduplah manusia seolah-olah di tengah kumpulan kambing, serigala, ular, harimau dan lain-lain lagi. Hidup terasa jadi buruan dan pelarian. Inilah watak dunia dan manusia sekular, yang sudah beratus-ratus tahun mencorak dunia. Manusia hilang seri wajah dan sakit jiwa. Ramai yang masuk ke hospital jiwa daripada yang masuk ke universiti-universiti. Siapakah yang hendak disalahkan dan di manakah titik awal penyelesaian masalah ini? Lebih baik kita menyalahkan diri sendiri, lalu mengajak diri untuk membaiki keadaan. Sesudah segala ideologi ternyata gagal memberi kebahagiaan kepada manusia dan dunia, apa kata kalau kita tanya Tuhan, yakni merujuk kepada ajaran Tuhan. Sebab Zat yang paling tahu tentang manusia ini, bukan manusia tetapi Tuhan yang mencipta manusia. Jadi tentu Tuhan tahu bagaimana hendak membaiki manusia-manusia yang sudah rosak ini termasuk diri kita.

Kalau kita jujur dalam hal ini, sesungguhnya jalan keluamya pasti ada! Masyarakat model yang baik, sebaik yang kita mahukan, pernah muncul di dunia ini satu masa dulu. Kalau kita rujuk ke sana, rasanya kita juga akan berpeluang untuk mengecapi suasana hidup di dalamnya. Pada-Mu ya Tuhan, kami nyatakan keinginan yang sungguh-sungguh, untuk kembali ke hadrat-Mu. Untuk itu, datangkanlah seorang pemimpin penyelamat yang boleh memulakan kerja-kerja ini, untuk kami mengikut jejakjejaknya. Tanpanya, bagaimana kami boleh mulakan perjalanan yang asing dan sulit ini!




http://www.usahataqwa.com/

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej